PETALING JAYA- Seorang pesakit terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selain perlu diintubasi berikutan pengambilan pil Ivermectin setiap hari ketika menerima rawatan di salah sebuah hospital baru-baru ini.
Perkara itu didedahkan seorang doktor dikenali Luqman Alhakim menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya ketika menceritakan kesan pengambilan Ivermectin terhadap pesakit Covid-19.
“Salah seorang pesakit menyeludup masuk Ivermectin dengan menukarkannya ke dalam botol vitamin C dan mengambil pil berkenaan setiap hari ketika berada di wad.
“Sekarang sudah masuk ICU dan diintubasi. Tolong jangan berbohong kepada kami, ia (Ivermectin) tidak selamat dan membahayakan kesihatan,” ciapnya ringkas.
Dalam pada itu, Luqman Alhakim turut meminta setiap pesakit supaya bersifat jujur dengan sejarah pengambilan ubat-ubatan serta tidak menipu doktor.
Dalam pada itu, Pusat Racun Negara sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya telah mula menerima kes keracunan yang diakibatkan oleh pengambilan Ivermectin.
Katanya, kes pertama yang diterima melibatkan seorang pengguna berumur 35 tahun yang telah mengambil sebiji pil Ivermectin.
“Akibat pengambilan sebiji pil itu, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.
“Kes kedua pula melibatkan seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji pil Ivermectin sekali gus,” jelasnya.
Pengambilan Ivermectin menjadi popular ketika ini berikutan didakwa oleh sesetengah pihak sebagai satu cara dalam merawat Covid-19. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929