PETALING JAYA – Disebabkan pingat emas yang diraih dalam sukan badminton di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, tiba-tiba sahaja nama penyanyi terkenal Ella menjadi bahan usikan netizen.
Nama penyanyi Sekuntum Mawar Merah itu menjadi bualan ramai apabila tular sekeping gambar memaparkan dirinya sedang berbual dengan bekas jaguh badminton negara, Rashid Sidek siaran sebuah akhbar sekitar tahun 1990-an.
Dalam foto tersebut, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 55, menunjukkan jari tanda bagus kepada Rashid.
Disebabkan foto tersebut, kebanyakan netizen mempersoalkan adakah Ella mempunyai hubungan istimewa dengan Rashid.
Menjawab pertanyaan ramai, penghibur yang terkenal dengan jolokan Ratu Rock itu menjelaskan hubungannya dengan Rashid hanyalah kawan.
Jawapan tersebut sekali gus menafikan semua dakwaan netizen mengenai gosip cinta Ella dan Rashid yang pernah menjadi cerita hangat lewat 1990-an.
“Ala cerita lama dan lagipun hanya kawan. Saya ialah peminat anak-anak Sidek,” jawabnya ringkas.
Dalam pada itu, pelantun lagu Rama-Rama itu juga turut menjawab tentang ciapan seorang peminat yang pernah memasang impian untuk melihat dia dan Rashid mendirikan rumah tangga.
“Masa ini semua harap Kak El dengan Rashid ‘menjadi’. Wedding of the year tetapi hanya kawan saja rupa-rupanya,” ciap seorang netizen wanita.
Tidak melenting mahupun memarahi wanita berkenaan, Ella bagaimanapun berseloroh bahawa dia tidak mempunyai perasaan terhadap Rashid, sementelah ketika sedang menunggu kehadiran suaminya, Azhar Ghazali yang masih di bangku sekolah.
“Tak sebab saya sedang menunggu suami. Waktu itu dia masih bersekolah,” guraunya ringkas.
Sejak semalam, tular beberapa keping foto memaparkan kejayaan Rashid mengharumkan nama negara dalam sukan badminton dalam Twitter, termasuklah fotonya bersama Ella.
Susulan daripada foto tersebut, ramai yang mendakwa Rashid dan pelakon filem Pemburu Bayang itu pernah menjalinkan hubungan istimewa.
Untuk rekod, Ella mendirikan rumah tangga dengan Azhar yang juga seorang juruterbang pada 7 Julai 2012 di Klang, Selangor.
Pasangan tersebut juga dilaporkan mengambil anak angkat, Shanome Az Zahra, 4, pada tahun lalu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929