CYBERJAYA – Polis mengesahkan wanita yang ditemui mati dipercayai terjun dari tingkat 30 sebuah kondominium di sini malam tadi, mempunyai keinginan untuk membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebelum kejadian, mangsa, remaja berbangsa Cina berusia 20-an naik ke aras bumbung bersama-sama seorang rakannya kira-kira pukul 7 malam.
“Mangsa yang berasal Kota Setar, Kedah, memaklumkan keinginannya untuk membunuh diri kepada rakannya yang sudah lebih setahun tidak dijumpai ketika mereka meluangkan masa bersama di aras atas bahagian bumbung bangunan itu.
“Pada pukul 8 malam, rakannya meninggalkan mangsa bersendirian di lokasi terbabit kerana mangsa tidak mahu kawannya itu melihat dia terjun. Mangsa bagaimanapun meminta rakannya melihat dari bawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, rakannya kemudian menuruni lif ke tingkat lima sebelum memaklumkan kepada kawan yang lain dan mereka kemudian melihat mangsa terjun dari aras ‘rooftop’ ke jalan raya kira-kira pukul 8.45 malam.
Tambah Wan Kamarul Azran, akibat kejadian itu, mangsa patah tulang pinggul sebelah kiri, tulang belakang serta mengalami kecederaan di bahagian perut dan tidak terdapat kesan lain yang mempunyai unsur jenayah semasa siasatan dijalankan oleh pasukan forensik.
Beliau berkata, mangsa meninggalkan pod vape, kunci kereta, telefon bimbit dan bekas air manakala dokumen mangsa seperti kad pengenalan, lesen dan kad bank sempat diserahkan kepada rakannya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929