ISKANDAR PUTERI – Polis merampas sebanyak 1,060 kartun rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM41,000 setelah mẹmbuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Taman Melawati, Nusa Bestari, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan pukul 8 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pekerja di premis tersebut.
Katanya, hasil risikan, Ops Kontraband dilancarkan bagi mengesan aktiviti penjualan rokok yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram.
“Dalam Ops Kontraband itu, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 34 tahun.
“Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas rumah suspek mendapati pelbagai jenis rokok yang tiada cukai kastam yang disimpan didalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah tersebut yang dianggarkan bernilai RM41,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek warga asing itu akan ditahan reman bagi membantu siasatan dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929