SEPERTIMANA masyarakat lain, orang Melayu juga mempunyai banyak kisah legenda seperti Raja Bersiong, Puteri Gunung Ledang serta Mahsuri yang diceritakan dari generasi ke generasi.
Justeru, bagi mencari kelainan, pereka muda, Muhammad Fawwaz Mohd. Fuat, 26, mengangkat kisah Raja Bersiong untuk dijadikan sebagai inspirasi dalam koleksinya yang diberi nama King of Blood.
Koleksi itu dihasilkan bagi memenuhi tugasan projek tahun akhir sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Reka dan Seni Lukis, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Sebelum menghasilkan koleksi itu, dia membuat kajian hampir Legenda Raja Bersiong jadi inspirasi rekaan setahun menerusi pembacaan dan menemu bual penduduk kampung di Kedah bagi mendalami cerita sebenar mengenai raja itu yang mana penceritaannya mempunyai pelbagai versi.
Menurut Muhammad Fawwaz, bagi projek tahun akhir itu, pihak universiti memberikan tema kisah-kisah legenda Melayu dan dia memilih cerita Raja Bersiong kerana ia cukup popular serta ramai orang mengetahui mengenainya.
“Raja Bersiong terkenal dengan kekejamannya yang secara terang-terangan membunuh rakyat sendiri untuk mendapatkan darah mereka.
“Menerusi koleksi ini, saya cuba menterjemah perasaan Raja Bersiong itu dan gelora jiwanya kerana disebalik kekejaman, baginda sebenarnya seorang ayah serta suami yang sangat baik,” katanya yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Jelasnya, menerusi koleksi King of Blood itu, dia menampilkan rekaan pakaian lelaki wearable art (karya yang boleh dipakai).
Anak ketiga daripada empat beradik itu menggunakan corak abstrak untuk menggambarkan gejolak jiwa Raja Bersiong menerusi rona merah bagi menterjemahkan perasaan marah, biru ketika baginda insaf dan seterusnya.
“Koleksi ini dihasilkan dalam empat gaya iaitu jaket panjang, jaket panjang bersama lengan bertingkat, jaket separuh dan jaket potongan normal.
“Saya mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan keempat-empat jaket tersebut,” tuturnya yang menggunakan fabrik polyester middleweight, yellow line, satin dan mash net.
Di samping itu, dia turut menggunakan perincian jahitan benang sulaman pada jaket panjang bersama lengan bertingkat.
Mengulas lanjut mengenai corak tersebut, Muhammad Fawwaz memberitahu, ia menggambarkan perasaan baginda yang bercampur dengan darah.
Dalam pada itu, koleksi King of Blood turut menampilkan gaya yang lebih maskulin, eksklusif dan penuh misteri. Penggayaannya hanya boleh dipakai di acara-acara fesyen atau sebagai pameran.