PETALING JAYA – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengalu-alukan langkah kerajaan mempercepatkan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) namun katanya bantuan tunai semata-mata tidak memadai dan kerajaan mesti tampil dengan idea-idea yang berbeza dari sebelum ini.
Jelasnya, bantuan kecemasan tunai yang dianggap senjata utama sewaktu pandemik adalah bersifat sementara, namun setelah beralih ke fasa endemik, kaedah itu perlu diubah kerana Covid-19 akan bersama komuniti buat beberapa ketika lagi.
“Strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh. Sampai bila hendak bergantung hanya kepada tunai dan keluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang jumlah simpanannya pun semakin mengecil.
“Seramai 4.5 juta pencarum KWSP ada kurang RM5 ribu. Selepas selesai i-Citra, tidak mustahil lebih sejuta hanya tinggal hampir RM0,” ujarnya melalui satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, lebih 750 ribu orang menganggur dan kebanyakannya orang muda lebih mahukan peluang kerja dan peluang berniaga.
“Orang muda di Malaysia amat komited serta bersemangat, pada mereka tiada ganti kepada konsep menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.
“Saya menyambut baik perancangan pembukaan sektor-sektor ekonomi dengan selamat. Perincian tentunya perlu diperhalusi tetapi dari segi konsepnya adalah wajar dilakukan.
“Saya mengesyorkan sekali lagi skim jaminan pekerjaan atau Job Bank dimana kerajaan tidak mengharap swasta sahaja untuk mencipta kekosongan pekerjaan tetapi dalam jangka pendek dan sederhana kerajaan perlu beraksi lebih ‘direct’ iaitu sediakan dan biayai peluang pekerjaan yang sepatutnya,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929