PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) belum menerima sebarang Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) berhubung cadangan pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.
Perkara itu disahkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang akhbar secara maya hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, sebarang keputusan sama ada kerja-kerja pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal itu wajar diteruskan atau tidak adalah tertakluk kepada keputusan penilaian Laporan EIA.
Beliau berkata, penyediaan Laporan EIA di Malaysia adalah satu keperluan di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan JAS.
“Laporan EIA hendaklah disediakan oleh orang yang berkelayakan dan perlu menepati garis panduan yang ditetapkan oleh JAS.
“Laporan EIA ini membolehkan penilaian terhadap impak ke atas kesan alam sekitar serta mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah, mengurang atau mengawal kesan negatif terhadap alam sekitar dilakukan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, beliau menyokong penuh kenyataan dibuat Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak bersetuju dengan cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) oleh kerajaan negeri Selangor.
“Bagi KASA, pewartaan keluar HSKLU atau mana-mana hutan simpan yang ada di Malaysia akan menjejaskan sasaran 45 peratus pengurangan karbon intensiti (per KDNK) menjelang tahun 2030 di bawah Nationally Determined Contribution (NDC) negara yang dikemukakan kepada UNFCCC pada tahun 2021,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929