KOTA BHARU – Hanya 10 peratus pesakit Covid-19 di negeri ini berada pada tahap tiga hingga lima atau dikategorikan sebagai kritikal meskipun kadar peningkatan kes jangkitan meningkat ketika ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, lebih 90 peratus kes melibatkan jangkitan bagi kategori satu dan dua dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini selain mendapati jangkitan Covid-19 yang membimbangkan sudah semakin berkurangan.
“Individu yang dijangkiti Covid-19 bagi kategori tiga hingga lima kebanyakannya terdiri daripada individu yang belum divaksin atau tidak lengkap dos vaksinasi.
“Bagi individu yang sudah divaksin dan terkena jangkitan Covid-19, kebanyakannya mereka akan berada pada tahap satu dan dua sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Zaini, meskipun kes Covid-19 masih berada pada jumlah empat angka, keperluan perubatan yang ada di Kelantan masih mampu menampung jumlah pesakit.
Beliau berkata, bagi menampung keperluan, JKNK membuka wad untuk rawatan intensif kepada pesakit Covid-19 dan memanggil semula anggota perubatan yang berada di luar Kelantan untuk kembali berkhidmat di negeri ini. – K! ONLINE