PENAMPANG – Empat sekeluarga ditemui rentung dalam kebakaran di Taman Hungab, Jalan Nosob awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, semua mangsa terkorban terdiri daripada sepasang suami isteri iaitu Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka Brandon Wong, 18 dan Eric Wong, 15 tahun.
Kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan jenis Proton Saga dan Perodua Alza yang musnah 30 peratus terkena bahang kebakaran.
Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi.
“Api masih marak di dalam rumah berkenaan jadi operasi pemadaman segera dijalankan sejurus kami tiba di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan kita menemui empat mangsa rentung di dalam rumah terbabit yang merupakan pasangan suami isteri dan dua anak lelaki mereka.
“Tiga mangsa lelaki terperangkap di dalam bilik di tingkat atas manakala seorang lagi iaitu mangsa wanita ditemui di dalam bilik air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Hamsa memaklumkan semua mayat mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, api hanya berjaya dikawal pada pukul 3.40 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.10 pagi.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929