TAMPIN – Seorang warga emas tetap gigih mencari rezeki bagi menyara keluarganya dengan berniaga pelbagai jenis buah-buahan di Pekan Tampin di sini, sejak pendemik Covid-19.
Sohrab Quddus, 63, berkata, dia memilih untuk menjual buah memandangkan perniagaan karpetnya yang baru diusahakan enam bulan lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu tidak boleh beroperasi susulan ia termasuk dalam sektor bukan barang keperluan.
Menurut Sohrab, sekiranya dia tidak mengubah barang jualan, dia bakal kehilangan pendapatan dan keadaan itu tentulah sukar memandangkan dia masih mempunyai dua orang anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta.
“Pada mula jual buah, memang sukar dapat pelanggan, lama-kelamaan, saya sudah ada pelanggan tetap yang hendak beli pisang dan kelapa muda. Sekarang saya mampu jual sekitar 70 kilogram pisang dan 50 biji buah kelapa muda.
“Ada juga yang mencari buah-buahan ini untuk kesihatan terutama yang ada saudara pesakit Covid-19,” katanya ketika ditemui di Bangunan Umno Tampin di pekan Tampin di sini, baru-baru ini.
Sohrab berkata, perniagaan buah-buahan itu merupakan perniagaan ketiga yang dilakukannya.
Sebelum ini dia meneruskan perniagaan roti ayahnya di sebuah ladang di Gemencheh.
Menurutnya, perniagaan itu tidak lagi dijalankan memandangkan persaingan yang sengit dengan roti keluaran syarikat ternama dan besar.
“Saya tak putus semangat untuk cari rezeki halal, apa yang penting usaha untuk cari menyara keluarga,” ujarnya.