SHAH ALAM – Seorang bekas pengarah syarikat pembekalan didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memalsukan dokumen membekalkan dakwat pencetak bernilai RM57,600, empat tahun lalu.
Tertuduh, Norehan Mat Yusof, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mahkamah turut memerintahkan ibu kepada tujuh orang anak termasuk seorang anak angkat itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Rozilah dalam penghakimannya berharap hukuman itu dapat menginsafi tertuduh dan tidak membuat kesilapan sama di masa depan.
“Jadikan iktibar, harap anak-anak tidak terlibat dalam jenayah. Move on (teruskan), jadikan ini satu kifarah dengan yang penting rasa keinsafan,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan, Norehan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik didakwa dengan curang menggunakan satu dokumen tulen iaitu invois bagi pembekalan barang habis pesanan kerajaan berjumlah RM93,685.30 kepada seorang pegawai kewangan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah yang berpangkat Leftenan Komander.
Dokumen itu mengandungi penyataan palsu mengenai pembekalan dan penghantaran barangan berupa empat jenis dakwat pencetak RM57,600 untuk PHN dengan diketahui sebagai dokumen palsu.
Perbuatan itu dilakukan di PHN TLDM, Pulau Indah pada 28 September 2017.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 kanun sama.
Peguam Sharen Rosli mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan memandangkan tertuduh telah berhenti daripada syarikat tersebut sebaik kontraknya tamat pada Januari 2019.
“Anak guam saya mempunyai tujuh orang anak termasuk anak angkat berusia tujuh hingga 22 tahun dengan purata pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebagai jurujual sambilan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli menegaskan kesalahan tertuduh adalah serius dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan.
“Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan negara,” jelasnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929