GOPENG – Kanak-kanak lelaki hiperaktif berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Kinta Baru di sini semalam ditemui lemas dalam lombong berdekatan rumahnya.
Mayat Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemui anggota Balai Polis Gopeng dalam keadaan terapung pada pukul 9.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 80 meter dari rumah keluarganya.
“Mayat kanak-kanak itu dibawa naik ke tebing oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng. Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Pengecaman telah dibuat oleh keluarga dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya di sini hari ini.
Kehilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran dan bisu itu disedari ibunya pada pukul 6.30 petang semalam setelah didapati tiada di ruang tamu rumah.
Operasi mencari mangsa segera digerakkan dengan bantuan pihak bomba dengan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM dan agensi lain. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929