PETALING JAYA – Mengacarakan program televisyen secara virtual dari rumah menyerlahkan lagi kesungguhan luar biasa pelakon Nabila Huda ketika bekerja sehingga menyediakan segala kelengkapan rakaman seoalah-olah berada di dalam studio penggambaran.
Demi mempersembahakn sebuah hasil kerja yang berkualiti, terbaharu pengacara program Melodi sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk membeli alat bantu baca atau teleprompter bagi memudahkannya pengendalian program tersebut secara visual di rumah.
Nabila atau Abil ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, sikapnya yang mementingkan kesempurnaan menyebabkan dia susah untuk dilihat ‘bermain-main’ ketika berada di set penggambaran dan memilih untuk bersikap profesional.
“Sejujurnya, saya daripada dulu memang orang dah tahu cara saya bekerja. Saya memang seorang yang profesional dan susah nak menceceh banyak benda bila berada di set penggambaran.
“Saya lebih memilih untuk fokus dengan kerja sebab saya mementingkan kesempurnaan. Jadi bila masuk set, saya akan terlebih fikir tentang persembahan saya daripada hendak bergurau,” ujarnya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Abil berkata dia tidak kisah mengeluarkan modal sendiri demi untuk mendapatkan hasil kerja yang terbaik.
“Atas cadangan ramai, lagi sekali saya keluarkan duit beli teleprompter demi mengacara secara virtual. Janji ini kali terakhir (berbelanja). Tak perlu cadangkan apa-apa lagi.
“Tolonglah. Bahaya! Jadi semua barang saya sudah lengkap. Tak tengok Melodi di TV3, jaga semua!” tulisnya.
Kesungguhan yang ditunjukkan Abil ketika bekerja turut mendapat pujian dalam kalangan rakan-rakan artis yang memuji semangat dan usaha yang ditonjolkannya.
“Aku hormat usaha artis macam kamu,” ujar pengarah Shahrulezad.
“Senang! Tak payah Keisha jadi manual prompter,” ujar pelakon Diana Danielle.
Terdahulu, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu pernah memberitahu bahawa dia sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk persiapan busana dan mempunyai pasukan sendiri bagi penampilan imej serta solekan mendapatkan hasil terbaik sepanjang menjayakan Melodi.
“Masalah besar dalam kerjaya saya ialah, saya jenis yang bersungguh-sungguh kalau buat satu-satu benda, termasuk akan berhabis duit demi memastikan segalanya sempurna,” katanya. – K! ONLINE