PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkukuhkan usahama bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mewujudkan lebih banyak hospital medan bagi memerangi wabak Covid-19.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui hantaran di Facebook berkata, ATM kini hanya menunggu lampu hijau dari KKM bagi menambah hospital medan di negeri-negeri yang memerlukan.
“Saya telah sebut baru-baru ini bahawa hospital medan akan segera ditambah di negeri-negeri yang memerlukan. ATM kini hanya tunggu lampu hijau KKM untuk diaturgerak.
“Covid-19 ialah musuh negara. Menerusi apa jua cara, ATM akan peranginya demi nyawa rakyat, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan tanah air,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain Hishammuddin berkata, setakat ini seramai 944 pesakit Covid-19 telah menerima rawatan di hospital medan ATM yang beroperasi di Hospital Sultanah Aminah, Johor sejak dibuka pada 21 Jun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu juga seramai 877 pesakit Covid-19 telah sembuh sekaligus dibenarkan pulang.
“Hari ini masuk hari ke-79 hospital medan ATM beroperasi di Hospital Sultanah Aminah dengan kapasiti 80 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU) sejak dibuka pada 21 Jun 2021.
“Saya amat bangga dan hargai kesungguhan anggota-anggota Tentera Darat Malaysia khususnya dari Kor Kesihatan Diraja yang sentiasa sanggup merisikokan diri serta bertugas sebilang masa demi membantu pasukan KKM perangi Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929