fbpx

124 kutu rayau, pengemis diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaiton berucap pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Golongan gelandangan, orang papa dan kutu rayau di negeri ini terus disantuni melalui beberapa inisiatif untuk memastikan keperluan dan kesejahteraan kehidupan mereka dipertingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, sehingga Jun tahun ini, sebanyak 86 operasi menyelamat telah dilaksanakan secara bersepadu.

Menurut beliau, dalam tempoh itu, seramai 124 orang pengemis dan kutu rayau yang telah diselamatkan.

“Antara usaha yang diambil bagi membantu mereka adalah penempatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); mendapatkan pekerjaan; penempatan di rumah atau bilik sewa.

“Selain itu, mereka juga dihantar pulang kepada waris dan dirujuk kepada agensi lanjut seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Md. Othman Yusof (UMNO-Kukup) berhubung tindakan diambil untuk mengatasi masalah gelandangan yang meningkat di negeri ini.

Zaiton yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar di sini hari ini.

Tambah Zaiton lagi, pihaknya menerusi JKM telah mengambil usaha menyantuni dan menyelamat golongan gelandangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 melalui gerak kerja operasi bersepadu melibatkan 14 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

“Bagi memastikan golongan ini berpeluang mempunyai pendapatan sendiri, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi telah melaksanakan Program Temuduga Khas Golongan Gelandangan Khas 1.0 Tahun 2021.

“Menerusi program ini, 30 orang telah menyertai sesi temuduga dan seramai 26 telah berjaya ditawarkan pekerjaan di pelabuhan, kilang dan ladang sawit,” ujarnya.

Sementara itu, Zaiton turut memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Johor Bahru sedang giat membangunkan Pusat Transit Gelandangan Negeri Johor di Taman Larkin Perdana yang dijangka siap pertengahan 2022 dengan kos RM7.64 juta.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI