BANGKOK – Keadaan lalu lintas di sebatang jalan di Sukhumvit dalam wilayah Chon Buri kelmarin diganggu oleh kelibat seorang wanita yang berlari sambil berbogel, lapor laman berita Thaiger News.
Anggota dari Pejabat Polis Saensuk bersama petugas keselamatan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7 pagi (waktu tempatan) selepas menerima maklumat mengenainya.
Wanita berusia 58 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan menjerit ke arah orang ramai supaya tidak mendekatinya kerana dia positif virus Covid-19.
Petugas keselamatan dan anggota polis menyifatkan wanita itu sebagai ‘amat tidak memberikan kerjasama’ di lokasi kejadian.
Menurut seorang saksi, insiden bermula dengan satu pertelingkahan kecil di jalan Sukhumvit apabila sebuah kenderaan jenis sedan dan trak berlanggar.
Kemudian, wanita tersebut keluar daripada kereta sedan itu dalam keadaan berbogel.
Tidak dapat dipastikan sama ada wanita tersebut memandu dalam keadaan bogel atau dia telah menanggalkan pakaiannya selepas kemalangan tersebut.
Polis mengambil masa selama satu jam untuk memujuk menahan wanita tersebut selain terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) selepas dia mendakwa dirinya positif Covid-19.
Wanita itu kemudian dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan polis turut menghubungi ahli keluarganya bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai sejarah sakit mental. -Agensi