fbpx

United mula buat duit dengan Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO kembali mencipta fenomena tersendiri di Manchester selepas pernah melakukannya ketika mewakili United dari 2003 hingga 2008. – AFP

MANCHESTER – Percaturan Manchester United membawa pulang Cristiano Ronaldo dalam jendela perpindahan musim panas kali ini ternyata berbaloi apabila sudah membawa pulangan yang cukup lumayan buat kelab berkenaan.

Selepas United mengesahkan Ronaldo bakal menggunakan jersi No. 7 kegemarannya, jualan jersi terus mencanak hingga berjaya mengaut keuntungan sebanyak £32.5 juta (RM186.84 juta) dalam tempoh 12 jam pertama.

Berdasarkan beberapa laporan media Eropah, ia turut dikatakan menjadi jualan jersi paling laris dalam tempoh 24 jam sekali gus memotong keuntungan penjualan jersi No.30 Lionel Messi bersama Paris Saint-Germain baru-baru ini.

Justeru, pembelian Ronaldo daripada Juventus menjadi satu fenomena tersendiri di Manchester apabila jualan jersinya dikatakan paling laris dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Keadaan itu sekali gus me­legakan pihak pengurusan United apabila penjualan jersi Ronaldo sudah mampu untuk menampung yuran perpindahan bernilai £12.86 juta (RM74 juta) yang dibayar kepada Juventus hujung bulan lepas.

Selain itu, kepulangan Ro­naldo ke Old Trafford turut mempengaruhi jualan tiket perlawanan United di laman sendiri.

Ia apabila ada antara peminat mengambil kesempatan menjualnya dengan harga setinggi £2,500 (RM14,372) untuk aksi bertemu Newcastle United di Old Trafford, 11 September ini.

Pengurus The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan, skuad bimbingannya kali ini dilihat lebih hebat berbanding pasukan di bawah kendalian Sir Alex Ferguson yang menjuarai gelaran trebel pada 1999.

“Apa yang menjadi persoal­an peminat-peminat sekarang adakah pasukan ini memiliki kemampuan untuk mencabar kejuaraan liga? Bagi saya, masih ada pasukan lain lebih baik berban­ding kami.

“Bagaimanapun, saingan EPL menjadi lebih kompetitif sejak pertengahan tahun 2000. Oleh itu, saya lihat pasukan United yang sedia ada ini mungkin lebih baik daripada skuad sebelum ini,” kata pengendali dari Norway itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI