fbpx

Tuduhan terhadap Abdul Azeez cacat, tidak berasas – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez Abdul Rahim

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu, 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim adalah cacat dan tidak berasas.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Baling itu berhujah, pertuduhan terhadap anak guamnya sepatutnya digugurkan kerana kekurangan butiran dan hanya menyatakan lokasi sekitar Lembah Klang.

Hujah beliau, pertuduhan yang dirangka oleh pihak pendakwaan perlu lebih jelas bagi membolehkan Abdul Azeez, 54, mengemukakan pembelaan.

Hujah Amer Hamzah, pertuduhan yang kabur akan menafikan hak anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen. Bicara bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di hadapan panel itu.

Mahkamah sedang mendengar rayuan Abdul Azeez terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya agar kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, digugurkan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menetapkan penghujahan disambung pada 6 Oktober ini.

Amer Hamzah dibantu oleh Joshua Tay manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad, Nik Haslinie Hashim dan Hafizatul Ifa Ab. Razak.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Tinggi berpuas hati ketiga-tiga alasan yang dikemukakan oleh Abdul Azeez untuk membatalkan semua pertuduhan terhadapnya, tidak mempunyai merit yang mewajarkan mahkamah menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonannya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berpendapat, semua pertuduhan telah dirangka dengan sempurna dan menjadikan satu tindakan pramatang pada peringkat ini jika mahkamah memutuskan semua pertuduhan yang dikemukakan adalah tidak berasas.

Muhammad Jamil selanjutnya menyatakan, pertuduhan itu dirangka dengan sempurna walaupun intipati pertuduhan menggabungkan empat projek berasingan dalam satu pertuduhan.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi sejumlah 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI