PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kelmarin kepada mangsa tragedi banjir susulan fenomena kepala air di Gunung Jerai, Yan, Kedah.
TNB dalam satu kenyataan berkata, sumbangan dalam bentuk cek itu disampaikan oleh presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din melalui Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit di Pusat Operasi Bencana.
“Melalui lawatan pertama sebagai menteri, beliau turun padang membuat tinjauan di kawasan tanah runtuh dan sebagai usaha TNB bagi memulihkan aset dan infrastuktur bekalan elektrik yang rosak dan terjejas ekoran bencana itu.
“TNB juga telah menyediakan janakuasa bergerak untuk membekalkan elektrik sementara kepada semua pengguna terjejas sehingga bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya.
“Beliau turut menyantuni warga kerja syarikat utiliti elektrik negara itu yang masih giat melakukan kerja-kerja membaik pulih,” ujarnya.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Yan, Yang Mulia (YM) Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Mohd. Azam Abdul Samat dan Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji.
Dalam kejadian pada 18 Ogos lalu, bencana kepala air yang melanda kaki Gunung Jerai telah menyebabkan banjir kilat di 10 buah kampung dan kawasan peranginan di sekitar daerah Yan, Gurun dan Merbok, Kedah.
Banjir kilat dan limpahan air deras tersebut telah merosakkan kawasan kediaman dan infrastruktur utama, selain meragut enam nyawa penduduk. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929