fbpx

Salahkah hamil di waktu pandemik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ARINA AZLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

Berita kematian penyanyi tersohor negara, Siti Sarah Raisuddin kira-kira sebulan lalu membuka mata banyak pihak tentang bahaya virus Covid-10 kepada golongan ibu hamil.

Ramai yang bersuara agar pemberian vaksin kepada ibu hamil dipercepatkan dan peka dengan tahap imunisasi mereka.

Namun di sebalik itu, ada suaran sumbang yang mengatakan jika wanita itu hamil ketika pandemik dan dijangkiti, maka itu adalah kesalahan sendiri.

Sesetengah masyarakat mempertikaikan keputusan pasangan yang memilih untuk hamil ketika musim pandemik dan menuduh ibu bapa ini sangat tidak arif tentang perancangan keluarga.

Persoalan yang timbul kini adalah salahkah seseorang ibu untuk hamil ketika ini dan bayi yang dikandung hanyalah sekadar bayi hasil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Menurut Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan Hospital Prince Court, Dr. Maiza Tusimin, sememangnya kehamilan di musim pandemik digalakkan untuk ditangguh.

Ini kerana terdapat banyak risiko kesihatan terutama bagi ibu dan bayi di saat dunia masih bergelut dengan Covid-19.

“Namun begitu, keputusan mutlak pastinya terletak di tangan ibu bapa itu sendiri kerana setiap pasangan mempunyai kisah zuriat yang berbeza.

“Kita tidak tahu berapa lama pandemik ini akan berlanjutan dan bagi sesetengah pasangan, faktor usia serta tempoh me­nunggu mendapatkan zuriat mungkin memainkan pera­nan.

“Nasihat saya adalah jika mahu hamil, maka dapatkan perlindungan vaksin,” katanya.

Bagi sesetengah pasangan yang sudah menunggu lama untuk mendapatkan cahaya mata, antara manfaat PKP seperti banyak menghabiskan masa bersama menyumbang kepada faktor kesuburan dan kurang tekanan.

Ramai ibu bapa yang berjaya hamil buat pertama kali sepanjang PKP dilaksanakan selepas bertahun-tahun tidak berjaya.

Ada juga antara mereka yang memilih hamil kerana sudah di tahap umur yang semakin be­risiko untuk mendapatkan zuriat.

Pendakwah bebas dan Ekse­kutif Kanan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustazah Nurul Hidayah Kamarudin berkata, adalah tidak wajar untuk menggelarkan bayi yang lahir di musim Covid-19 sebagai ‘bayi PKP’ sahaja.

“Anak adalah rezeki daripada Allah SWT yang akan dikurniakan kepada ibu bapa terpilih pada bila-bila masa yang telah ditetapkan, pandemik atau tidak.

“Jika hamil di musim ini sangat-sangat memudaratkan, saya yakin Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan arahan khas yang meminta ibu bapa untuk menangguhkan dahulu niat mereka,” ujarnya.

Katanya, masyarakat tidak sepatutnya memandang sesuatu perkara itu hanya berdasarkan satu contoh kerana setiap orang itu memiliki kehidupan berbeza.

Satu kematian yang berlaku tidak boleh dijadikan sandaran hukum secara umum.

“Keadaan kesihatan Siti Sarah mungkin berlainan dengan semua wanita lain. Tahap kestabilan kandungan dan pengamalan protokol kesihatan beliau juga mungkin berbeza,” ujarnya lagi.

Oleh sebab itu, seandainya kita tidak tahu kisah sesetengah ibu bapa tentang usaha mereka berkenaan zuriat, maka sebagai umat Islam, adalah lebih baik kita mendoakan daripada mencela.

Sesungguhnya, daripada hadis Abu Hurairah RA pernah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI