KIEV, UKRAINE – Kapten Perancis, Hugo Lloris menggesa rakan-rakan sepasukannya agar terus memandang ke hadapan dan melupakan kejayaan lalu sebagai juara Piala Dunia sewaktu edisi 2018 di Rusia.
Lloris, 34, meluahkan kekecewaan terhadap prestasi goyah ditunjukkan mereka yang sekadar menyaksikan Les Blues seri 1-1 dengan Ukraine pada aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Olimpiyskiy awal pagi semalam.
Biarpun masih belum tewas sejak November tahun lalu, namun Lloris bimbang kerana ia adalah keputusan seri kali kelima berturut-turut selepas mereka turut diikat 1-1 oleh Bosnia-Herzegovina minggu lalu.
“Pemain tidak menunjukkan komitmen dan agresif dalam aksi ini. Tolong sedar Piala Dunia 2018 sudah lama berakhir.
“Kami seperti tiada keyakinan walaupun ada kemajuan ditunjukkan oleh sesetengah pemain. Namun, ia akan berhasil jika semua pemain beraksi pada tahap sebenar mereka.
“Kami perlu kekal positif dengan keputusan ini dan mula mencatat kemenangan apabila menentang Finland selepas ini,” kata penjaga gol Tottenham Hotspur itu.
Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps turut menegaskan, beliau tidak mahu melihat lagi prestasi sama ketika bertemu Finland di Stadium Groupama pada Rabu ini.
Sebagai rekod, naib juara Euro 2020 itu dikejutkan dengan gol pertama Ukraine menerusi Mykola Shaparenko pada minit ke-44 sebelum Anthony Martial menyamakan kedudukan 1-1 dalam babak kedua. – AGENSI