PUTRAJAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membuat bayaran pampasan hampir RM11.7 juta kepada pekerja yang terkesan akibat jangkitan Covid-19 dengan jangkaan liabiliti keseluruhan melebihi RM131 juta.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, nilai tanggungan itu dijangka akan terus meningkat seiring dengan peningkatan bilangan jangkitan dalam kalangan pekerja, sekiranya penularan wabak Covid-19 tidak dibendung dengan kadar segera.
Untuk itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Perkeso akan melaksanakan Program Ujian Saringan Covid-19 Fasa Pemulihan bagi membantu majikan yang ingin beroperasi semula untuk melakukan ujian saringan kepada pekerja ketika tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
“Golongan pekerja adalah antara yang paling terkesan akibat wabak ini dengan saban hari wujud kluster-kluster jangkitan Covid-19 di tempat kerja yang memberikan kesan langsung ke atas ekonomi, industri dan individu.
“Justeru, pendekatan ini diharapkan dapat mengurangkan beban majikan yang perlu menanggung kos klinikal bagi menjalankan ujian yang dikenakan oleh pihak klinik atau hospital sahaja,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, Perkeso akan membekalkan kit ujian saringan jenis Rapid Test Kit (RTK) Antigen kepada pihak majikan.
“Majikan pula bertanggungjawab untuk menyelaraskan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 secara profesional bersama klinik, hospital atau doktor yang terlatih, pilihan mereka sendiri,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929