fbpx

Perkenal peraturan industri vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinet baharu diharap lebih cakna kepada komuniti vape yang mendakwa telah sekian lama dipinggirkan.

Menurut Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria, perbincangan pelaksanaan peraturan untuk kawal selia industri vape telah lama dirunding namun masih gagal dilaksanakan.

Jelasnya, menerusi kepimpinan baharu, sudah tiba masanya kerajaan membuat kata putus mengenainya.

“Perubahan tampuk pimpinan negara yang sering bertukar menyebabkan perbincangan mengenai pelaksanaan peraturan kawal selia ini tiada penghujung. Akibatnya, hala tuju industri ini terumbang ambing tanpa kepastian.

“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan industri untuk memperkenalkan peraturan untuk industri vape, selain cukai eksais terhadap e-cecair bernikotin dalam Bajet 2022 sebagai langkah seterusnya susulan bajet sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Rizani

Pada Bajet 2021, Kerajaan telah mengumumkan cukai eksais ke atas peranti vape dan e-cecair vape tanpa nikotin, namun tidak kepada e-cecair bernikotin.

Rizani menambah, industri vape tempatan pada masa ini dianggarkan bernilai RM2.27 bilion yang membabitkan 3,300 perniagaan dengan lebih daripada 15,000 pekerja dan lebih sejuta pengguna vape.

“Sekiranya industri vape tempatan disuntik dengan peraturan, kami percaya ia dapat berkembang lebih maju menyaingi industri-industri utama lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ashraf Rozali dalam kenyataan sama menyambut baik perlantikan Khairy Jamaludin sebagai Menteri Kesihatan dan berpandangan beliau adalah individu yang berbuat keputusan berpandukan fakta dan bukti.

Ashraf

“Pada 2015, Khairy yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan menyarankan kerajaan melaksanakan undang-undang untuk mengawal selia industri vape dengan segera dan tidak bersetuju dengan cadangan untuk melarang penggunaan vape memandangkan rokok tembakau dibenarkan dijual dengan peraturan.

“Malah, media turut memetik beliau sebagai berkata vape mempunyai bukti risiko kesihatan yang lebih rendah berbanding rokok, berdasarkan bukti yang ditunjukkan di negara Eropah.”

“Kini sebagai Menteri Kesihatan, kami amat berharap Khairy boleh membantu mempercepatkan perlaksanaan peraturan kawal selia berdasarkan fakta dan bukti yang telah ditunjukkan di negara Eropah agar pemain industri dapat menjalankan perniagaan dalam ekosistem yang terkawal dengan peraturan,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI