TIDAK semua orang dikurniakan ke lebihan yang sama dengan individu lain dan masing-masing ada
kelebihan dan kekurangan.
Ada antara mereka dikurniakan kecerdasan fikiran, namun tidak mempunyai kelebihan untuk berkatakata di hadapan khalayak dan sebaliknya.
Itulah dihadapi Nur Amirah Yahaya, 23, yang mempunyai kekurangan ketara dalam hidupnya iaitu pediam dan cepat gemuruh apabila berkomunikasi dengan orang ramai.
“Saya menghidap asma agak serius sejak kecil. Disebabkan itu, saya kurang berjumpa dan bergaul dengan orang tidak dikenali sehingga membuatkan saya menjadi pemalu,” ujarnya.
Bagaimanapun, kekurangan tersebut bukan penghalang kepada anak jati Selangor itu untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum sewaktu menuntut di institusi pengajian tinggi.
Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu akhirnya berjaya me ngatasi kekurangan tersebut
menerusi aktiviti di kampus.
Malah, Nur Amirah berjaya membanggakan USIM melalui beberapa kemena ngan dalam pertandingan
akademik dan kokurikulum yang disertai bermula dari semester pertama.
“Sejak bangku sekolah lagi, saya mempunyai masalah berkomunikasi di hadapan orang ramai. Sifat gemuruh terlalu menebal dalam diri.
“Apabila ingin berucap di depan khalayak, saya berasa gugup sehingga menyebabkan tangan menggigil dan suara bergetar,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.
Menurut gadis berkaca mata itu, kekurangan yang membelenggu membuatkan dirinya pasif dan kurang berinteraksi sosial bersama pensyarah dan rakan-rakan di bilik kuliah.
Ujarnya, dia mula mendapat keyakinan diri berucap di depan orang ramai apabila mula melibatkan
Perbaiki kekurangan diri untuk terus catat kejayaan diri dalam aktiviti bilik kuliah, selain bimbingan diberikan oleh pensyarah.
Pada masa sama, Nur Amirah mula bergiat aktif dalam beberapa pertandingan setelah bakatnya digilap oleh mentornya, Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pit chay pada semester kedua pengajian.
Katanya, dia mempunyai kelebihan penciptaan perisian komputer terutamanya berkaitan Internet of Thing (IOT) sehingga melayakkannya mewakili USIM dalam pertandingan.
“Saya mendapat dorongan dalam bidang kokurikulum daripada Dr. Sakinah. Beliau juga mengetengahkan bakat saya dalam beberapa pertandingan inovasi peringkat universiti, kebangsaan dan
antarabangsa.
“Antara pertandingan yang saya sertai termasuklah pengaturcaaran anjuran universiti, pertandingan inovasi dan hackhaton di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” tegasnya.
Segalanya bermula apabila Nur Amira bersama kumpulannya berjaya meraih johan menerusi kategori inovasi dalam pertandingan Telecom Application Development Hack pada 2018. Tidak cukup dengan itu, dia turut menyertai beberapa pertandingan lain seperti Melaka International Intellectual Exposition dan Software Programming Innovation Competition 2019.
Malah, dia berjaya meraih tempat pertama pada pertandingan pengaturcaraan Procom anjuran
Universiti Multimedia dengan kolaborasi sebuah agensi dari Jepun.
Cerita anak sulung daripada enam adik-beradik itu, perkara paling ‘menakutkan’ baginya adalah ketika
menyertai pertandingan inovasi adalah apabila diminta menjadi pembentang
projek kepada orang ramai.
Seterusnya Nur Amirah dan kumpulannya ditawarkan mewakili negara ke peringkat antarabangsa
pada Mac 2020 di Hanoi University, Vietnam, namun terpaksa dibatalkan ekoran Covid-19.
“Perkara paling ditakuti oleh saya apabila menyertai pertandingan IOT adalah ketika diminta menjadi pembentang pada pertandingan inovasi.
“Bagi mengatasi masalah gemuruh, saya banyak melakukan latihan pembentangan di hadapan mentor dan rakan kumpulan bagi meningkatkan keyakinan serta kelancaran pertuturan di depan juri,” ujarnya.
Kini, Nur Amirah menjalani latihan industri di sebuah syarikat perisian tempatan, Mesiniaga Berhad sebelum menamatkan pengajiannya pada akhir bulan ini.
Menariknya, dia mendapat pujian hebat daripada penyelia industri kerana boleh berkomunikasi dengan baik dalam menyampaikan input, cepat belajar serta sopan.
Meskipun sibuk dengan aktiviti di luar kuliah, namun Nur Amirah sama sekali tidak pernah mengabaikan
pelajaran sehingga membolehkannya mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester.
“Kebanyakan pertandingan berlangsung pada hujung minggu sehingga membuatkan saya kesuntukan
masa untuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.
“Jadi, saya perlu bijak mengatur masa bagi memastikan setiap tugasan dapat disiapkan dalam masa diberikan tanpa mengabaikan fokus pada pertandingan disertai,” ujarnya.
Dia turut melakar kejayaan apabila dianugerahkan Anugerah Inovasi serta Anugerah Tokoh Siswi pada majlis Anugerah Fakulti Sains dan Teknologi 2021 kerana keseimbangan dalam akademik dan kokurikulum.
Nur Amirah dijangka bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda kelas pertama bagi Majlis Konvokesyen kali ke-19 USIM yang akan datang.
Dia berhasrat untuk bekerja dalam bidang IOT selepas tamat pengajian kelak dan tidak bercita-cita meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana ingin berbakti kepada keluarga.