SEMANGAT juang tinggi dan tidak pernah kenal erti putus asa menjadi intipati kepada kejayaan kontinjen Malaysia memperoleh satu lagi keputusan membanggakan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang melabuh tirai secara rasmi malam semalam.
Pada edisi kali ini, Malaysia menghantar seramai 22 atlet dan berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan dua perak, sekali gus mengakhiri temasya paling mencabar yang tertangguh setahun akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, pencapai tahun ini seharusnya mendapat pujian yang tinggi memandangkan atlet para negara turut mengatasi pencapaian lima tahun lalu sewaktu di Rio dengan catatan tiga pingat emas dan satu perak.
Lebih manis, kejayaan kali ini adalah rekod terbaik kontinjen Malaysia sepanjang enam edisi penyertaan di Sukan Paralimpik tersebut.
Pada temasya tahun ini, atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menggegar bumi Tokyo apabila menghadiahkan pingat emas pertama dalam kategori 72 kilogram (kg) dengan angkatan seberat 228kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik.
Hari gemilang kem negara bagaimanapun hadir selepas meraih dua pingat emas bermula dengan kejayaan jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou sebelum dilengkapkan atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly untuk menutup tirai Sukan Paralimpik 2020 dengan kilauan emas.
“Secara keseluruhan saya boleh nilai ia adalah kejayaan yang membanggakan Malaysia selepas berjaya menepati sasaran tiga pingat emas seperti yang kita peroleh lima tahun lalu di Rio, Brazil.
“Pada asalnya, saya menjangkakan kita mampu dapat lebih daripada tiga emas, namun insiden melibatkan atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli menyebabkan kita kehilangan emas keempat. Apa pun, insiden itu harus dijadikan iktibar dan pengajaran pada masa akan datang,” kata Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin semalam.
Jelas beliau, secara keseluruhan, dia berbangga dengan semangat juang para atlet yang tidak mengalah hingga meneruskan perjuangan sebaik yang mungkin untuk menghadirkan kilauan pingat.
“Meskipun kita berdepan kekangan akibat Covid-19, mereka telah menjelmakan aksi yang baik buat Malaysia. Saya percaya usaha kita tidak terhenti di sini dan kita akan lebih berjaya pada masa akan datang.
“Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada atlet Malaysia,” katanya.