WARREN, Mississippi – Seorang pemburu yang memburu buat pertama kalinya Sabtu lalu berjaya menangkap seekor aligator seberat 362 kilogram di Warren, Mississippi, lapor laman berita Mail Online kelmarin.
Hanya 920 permit memburu aligator dikeluarkan setiap tahun di negeri Mississippi dan Ty Powel, 28, dari Columbia bertuah kerana mendapat permit yang dipohon ribuan individu lain pada tahun pertamanya.
Powell berjaya menangkap seekor aligator sepanjang 3.9 meter dengan dibantu empat lagi pemburu berpengalaman.
Powell berkata, dia berasa seronok memburu buat pertama kalinya dan akan memohon permit sama tahun depan.
“Saya percaya perasaan seronok menyebabkan saya tidak berasa gentar.
“Saya sangat kagum apabila melihat haiwan itu muncul di permukaan air dan berasa amat penat selepas menghabiskan masa selama satu jam membawanya ke daratan,” katanya.
Powell merakam penghargaan kepada empat pemburu lain yang memberi bimbingan kepadanya.
“Ia adalah pengalaman perburuan seumur hidup. Keempat-empat lelaki ini berada bersama saya dan saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah membantu menangkap aligator tersebut,” jelas Powell.
Powell berkata dia merupakan seorang pemburu tegar dan amat menyukai aktiviti itu sejak dari kecil. -Agensi