PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 yang berpanjangan mengurangkan bilangan orang berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang hilang upaya mendapatkan semula pekerjaan tahun ini.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ketika pandemik mula melanda negara ini tahun lalu, jumlah orang berinsurans yang mendapat semula pekerjaan adalah 5,365 kes.
Menurutnya, ia merupakan satu penurunan berbanding 2019 yang mana 7,134 orang berinsurans berjaya diambil bekerja oleh majikan-majikan.
“Sehingga 20 Julai tahun ini pula, kita boleh melihat penurunan mendadak dalam bilangan orang berinsurans mendapatkan semula pekerjaan iaitu 3,360 kes.
“Angka dicatatkan bagi tujuh bulan pertama 2021 ini akan menyebabkan jumlah bilangan orang berinsurans mendapatkan semula pekerjaan tahun ini turun sedikit berbanding tahun lalu,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada International Public Employment Forum 2021 (IPEF 2021) anjuran Perkeso yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, isu tersebut berlaku adalah disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang masih berpanjangan di negara ini dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilaksanakan.
“Tempok lockdown berpanjangan serta kes positif Covid-19 harian yang meningkat memberi implikasi terhadap komuniti hilang upaya, yang sudah punberhadapan dengan pelbagai halangan struktur sebelum pandemik ini berlaku,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929