PENYANYI Olivia Rodrigo dikhabarkan terpaksa mengeluarkan kos bernilai jutaan dolar demi membayar royalti kepada penyanyi, Taylor Swift dan vokalis kumpulan Paramore, Hayley Williams.
Bayaran tersebut dibuat gara-gara dua buah lagu nyanyian Rodrigo dikatakan mirip seperti lagu single yang pernah dikeluarkan oleh Swift dan Williams suatu ketika dahulu.
Lagu tersebut adalah Good 4 U yang dikatakan ‘diciplak’ menerusi lagu berjudul Misery Business milik Paramore yang dilancarkan pada 2007. Malah, lagu tersebut turut menduduki tangga pertama dalam carta Hot 100 Billboard.
Bukan sahaja perlu membayar royalti, malah nama Williams juga dikreditkan ke dalam lagu Good 4 U sebagai pencipta bersama.
Selain Good 4 U, lagu Rodrigo berjudul Deja Vu didakwa digubah berdasarkan lagu nyanyian Swift yang berjudul Cruel Summer.
Atas alasan sebegitu, Rodrigo juga perlu melakukan hal yang sama iaitu berkongsi separuh daripada royalti lagu tersebut bersama Swift, termasuk dua orang pemuzik lain iaitu Jack Antonoff dan Annie Clark.