KOTA KINABALU – Mayat pemandu Perodua Myvi yang hilang sejak Jumaat lalu selepas kereta dihanyutkan arus deras ditemui dalam keadaan timbunan pasir di tebing sungai Kampung Dambai, Jalan Kionsom, Inanam hari ini.
Mangsa, Simon Sange Tupe, 68, ditemui kira-kira pukul 1.30 petang tadi oleh dua beradik sebelum memaklumkan tentang penemuan itu kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mayat ditemui tertanam di dalam timbunan pasir di kawasan Kampung Dambai kira-kira satu kilometer daripada lokasi pertama kejadian Perodua Myvi berkenaan dihanyutkan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menjalani proses ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 2.20 petang selepas mayat mangsa ditemui.
“Mayat mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929