PERJALANAN anak seni ketika musim pandemik terlihat getir. Ramai yang masih bertahan, namun banyak juga juga yang terkandas untuk mengemudi kesinambungan hidup.
Belenggu pandemik juga banyak mengubah cara seseorang untuk terus berjuang. Begitu juga yang dialami oleh seorang penyanyi yang telah lama bertapak dalam industri iaitu selama 16 tahun menerusi program realiti Malaysian Idol dengan lagu debut, Harapan.
Fazli Zainal tidak pernah menduga wabak yang sangat digeruni, Covid-19 akan menyerang dirinya sehinggalah dia disahkan positif dan dijangkiti virus tersebut pada 25 Julai lalu.
Berita dan fakta tersebut menjadi igauan ngeri apabila dia terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang pada 30 Julai sebelum disahkan bebas daripada Covid-19 dan dibenarkan pulang pada 28 Ogos lalu.
Tempoh hampir sebulan menerima rawatan memberikan Fazli ruang untuk berfikir dan mencari kekuatan.
Pada awalnya, dia pasrah dan hampir putus asa, tetapi sokongan keluarga, sahabat, para petugas barisan hadapan dan peminat, akhirnya membulatkan tekad Fazli untuk terus berjuang.
“Saya harus terus berjuang. Wabak ini tidak akan menyekat hidup yang telah saya bina dan cinta saya terhadap nyanyian,” ujarnya.
Kudrat
Mengumpul segala kudrat dan semangat, Fazli terpanggil untuk melahirkan lagu terbaharunya untuk peminat yang berjudul Mantan Yang Terluka.
Mantan Yang Terluka hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Fedtri Yahya merupakan sebuah projek bawah ISK Muzik (Inisiatif Seni Kreatif). Rakaman lagu tersebut telah dijalankan sekitar Julai tahun lalu dan klip videonya pula dirakamkan pada bulan Oktober tahun sama, di sebuah studio di Petaling Jaya, Selangor.
“Ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan Ajai. Sememangnya hajat mendapatkan khidmat komposer daripadanya telah lama saya inginkan dan rezeki itu sampai jua,” kata Fazli.
Ujar Ajai pula, lagu Mantan Yang Terluka memang diciptakan khas untuk Fazli dengan mengambil kira kekuatan vokal dan ‘tone’ yang ada padanya.
“Kekuatan ini saya hadirkan dalam melodi lagu Mantan Yang Terluka dan Fazli menyempurnakan sesi rakaman dengan sangat baik. Ini juga merupakan kolaborasi pertama saya dengan Fedtri. Lirik tulisannya memang indah,” ujar Ajai.
Mengulas tentang lirik indah lagu Mantan Yang Terluka, Fedtri Yahya memberitahu, lirik tersebut diilhamkan daripada kisah cinta luka.
“Terluka adalah lumrah dalam cinta. Jangan membohongi diri andai tidak bahagia. Semua orang berhak menyuarakan rasa itu jika tidak mampu lagi menanggung beban luka dalam jiwa,” jelas Fedtri.
“Setelah hampir lima tahun menyepi dengan lagu baharu, kini rezeki itu datang dalam bentuk yang berlainan. Biarpun dilanda musibah tetapi Allah memberikan saya rezeki lagu baharu sebagai pengubat tatkala saya masih berusaha melawan virus ini,” jelas Fazli pula.
Penyanyi berusia 44 tahun itu juga melahirkan rasa gembira dan teruja kerana dapat bekerjasama dengan pihak Wake The Baby Records, ISK Muzik dan juga Universal Music Malaysia.
“Ucapan terima kasih ditujukan kepada Ajai selaku komposer dan penerbit lagu serta Fedtri Yahya selaku penulis lirik.
“Insya-Allah saya percaya dan berdoa lagu ini akan menjadi satu lagi hasil sentuhan emas,” ujar Fazli optimis.
Lagu dan klip video rasmi Mantan Yang Terluka terbitan ISK Muzik dengan kerjasama Universal Music Malaysia (selaku pengedar digital) akan dilancarkan menjelang 10 September menerusi semua platform digital termasuk YouTube.