CYBERJAYA – Zaman kanak-kanak adalah momen indah yang dialami oleh setiap orang dan antara kenangan manis yang pasti dilalui setiap individu adalah ‘mencuri’ makan serbuk Milo di dapur.
Serbuk yang manis, sedap dan berlemak itu memang mengasyikkan bila dimakan begitu sahaja sehingga membuatkan mulut jadi comot dan pastinya jika berjaya ditangkap ibu di dapur pasti akan membangkitkan kemarahan beliau.
Kenangan manis tersebut telah memberi suntikan kepada usahawan muda masa kini untuk mengkomersialkan serbuk Milo itu kepada cabang perniagaan lain yang berpotensi dan berdaya saing.
Pengarah Urusan MadBean Holdings (MadBean), Taufik Khairuddin berkata, daripada testimoni pelanggan, salah satu produk keluarannya yang berkonsepkan serbuk Milo dan dimakan begitu sahaja di bawah segmen Mellow iaitu Mellow Crunch dan Mellow Cookies telah berjaya membawa semula kenangan lama mereka.
“Kini, pelanggan membelinya untuk dinikmati bersama anak-anak tetapi produk itu dihadirkan dalam perisa yang lebih berinovatif dengan campuran bahan lain yang menjadikan ia lebih sedap,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan syarikat dan produk di sini baru-baru ini.
Turut hadir ketua pemasarannya, Hanif Jamaluddin.
Taufik, 30, menerangkan, testimoni positif dan kepuasan pelanggan itu menjadi perangsang dan semangat kepadanya untuk terus membuat kajian dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan produk baharu pada tahun depan.
MadBean yang dibangunkan sejak dua tahun lalu kini menawarkan lima rangkaian produk iaitu segmen Mellow, Viscoff, Zombie Cookies, The Vanilla Bean dan juga Thachos yang mana harga ditawarkan pada harga semurah RM13.90 sehingga RM33, manakala kek dari The Vanilla Bean pula dijual antara RM55 hingga RM150.
Lebih menarik, produk segmen Zombie Cookies yang telah berada di 650 cawangan Watsons di seluruh negara sejak dua tahun lalu memberi nafas baharu kepada perkembangan syarikat sekali gus mengukuhkan lagi jenama produknya di pasaran tempatan.
Tiga perisa Zombie Cookies yang terdiri daripada red velvet, mocha dan karamel telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
Bersandarkan kepada permintaan yang terus meningkat, usahawan yang pernah berkhidmat di sebuah syarikat penerbangan tempatan lima tahun lalu telah membangunkan kilang khusus untuk pengeluaran produk Zombie Cookies di Negeri Sembilan.
“Keunikan kami terletak pada cabang pemasaran yang mana rata-ratanya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang ini khususnya secara online dan kami lebih terdorong untuk muncul sebagai pencetus trend dan menjual jenama di pasaran,” ujarnya.
Anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan yang suka menceburi bidang perniagaan bertemakan keriangan itu juga telah mencatat perolehan jualan yang menggalakkan ekoran sokongan daripada kakitangannya yang kini bertambah seramai 150 orang daripada hanya lapan orang sebelum ini.
Syarikat mengunjurkan perolehan pada tahun ini sebanyak RM25 juta yang bakal dipacu oleh beberapa faktor seperti tawaranproduk berdaya saing dan berinovatif hasil R&D yang dijalankan, aktiviti pemasaran yang agresif khususnya secara online dan rangkaiannya yang semakin kukuh.
Menurutnya, sumbangan terbesar sebanyak 40 peratus kepada perolehan syarikat adalah daripada segmen Mellow.
“Berbanding dua tahun lalu, jualan syarikat pada bulan pertama adalah RM100,000 dan ia terus bertambah kepada RM2 juta setiap bulan,” jelasnya.
Bagi syarikat, tempoh pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi satu peluang terbaik untuk mengembangkan lagi perniagaan selain meningkatkan aktiviti pemasarannya.
Ketika itu, kecenderungan dan minat masyarakat memilih platform digital untuk membeli-belah membuka ruang kepada syarikat menambah jualan.
Lebih terkesan buat diri Taufik yang sebelum ini berpengalaman dalam pelbagai bidang seperti kosmetik dan fesyen berasa bangga apabila MadBean berjaya membantu ramai orang yang terkesan akibat pandemik berkongsi rezeki bersamanya untuk menjadi usahawan yang berjaya hingga kini.
“Saya diberi peluang oleh Tuhan untuk membantu ramai orang di luar sana yang telah diberhentikan kerja atau gaji yang dipotong untuk mengedarkan makanan keluaran syarikat. Sehingga kini komitmen mereka sangat menggalakkan.
“Dengan adanya beberapa segmen produk dan yang terbaharu nanti, kami akan membantu lebih ramai usahawan pada masa depan,” ujarnya.
Impiannya kini adalah untuk membolehkan mereka yang menjadi ejen yang kini seramai 12,000 orang dengan modal permulaan hanya serendah RM100, dapat menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
Beliau mengunjurkan untuk menambah jumlah ejen sehingga 20,000 orang pada tahun 2022.
Tambah beliau, syarikat juga kini berjaya mengembangkan penguasaan pasarannya ke negara jiran di Singapura dan Brunei yang mana pendapatan daripada eksport dijangka menyumbang antara lima hingga 10 peratus kepada perolehan syarikat.
Beliau sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran Indonesia tahun depan ekoran ada pertanyaan dan permintaan yang semakin meningkat kini.