PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengatur sesi pertemuan bersama Pengarah Kesihatan Labuan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dan Jawatankuasa Bencana di Labuan berhubung cadangan pembukaan sekolah pada masa akan datang.
Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam kenyataan di laman Facebook berkata, sesi libat urus itu turut melibatkan pengetua, guru besar, guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sesi libat urus ini dimanfaatkan dalam memuktamadkan pelan komprehensif KPM untuk pembukaan sesi persekolahan akan datang supaya persediaan lebih teratur dan murid dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang selamat.
“Adalah penting untuk duduk berbincang mengenai cadangan kami di samping mendapatkan input serta pandangan daripada mereka bagi memastikan kaedah yang kita cadangkan itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya hari ini.
Labuan telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa Khamis lalu dengan hampir kesemua sektor dibenarkan beroperasi dengan norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929