KUALA PERLIS – Seekor ikan lumba-lumba jenis Irrawaddy sepanjang 2.5 meter dengan berat kira-kira 150 kilogram ditemui mati terdampar di tepi laut berhampiran Kampung Kurung Tengar di sini hari ini.
Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 9 pagi ini dan tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.
Katanya, pihaknya kemudian mendapati bangkai tersebut sudah berbau busuk dan dipercayai sudah mati kira-kira seminggu lalu sebelum dihanyutkan air laut ke kawasan berkenaan.
“Biasanya kes ikan lumba-lumba terdampar disebabkan haiwan itu mencari makanan seperti ikan belukang yang banyak di pesisir pantai.
“Haiwan tersebut kemungkinan tidak sempat untuk berenang kembali ke tengah laut apabila air surut menyebabkan hidupan itu terdampar di tepi laut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut mengambil sampel daripada bangkai ikan lumba-lumba tersebut untuk dihantar kepada rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Marine Mammal Conservation (MareCet) untuk mengetahui punca kematiannya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929