PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di 11 buah negeri petang ini.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya sebentar tadi, MetMalaysia memaklumkan antara negeri yang terlibat adalah Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Di Perak kawasan yang terlibat adalah Batang Padang dan Muallim, manakala di Terengganu adalah sekitar kawasan Hulu Terengganu.
“Bagi negeri Pahang pula, kawasan terlibat adalah Lipis, Raub, Jerantut, Maran, Kuantan serta Rompin, manakala untuk negeri Selangor ia membabitkan kawasan Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang,” katanya di Facebook.
Sementara itu, bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula hampir keseluruhan kawasan akan mengalami ribut petir dan hujan lebat termasuk juga negeri Melaka.
“Bagi Negeri Sembilan pula, kawasan yang terlibat adalah daerah Jelebu dan Seremban, manakala bagi Johor ia membabitkan kawasan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai serta Johor Bahru.
“Di Sarawak pula, ia membabitkan kawasan Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song), Bintulu (Tatau) dan Limbang (Lawas),” ujar MetMalaysia.
Untuk negeri Sabah pula, MetMalaysia meramalkan kawasan pedalaman antaranya Sipitang, Tambunan, Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Kudat (Kota Marudu dan Pitas) akan mengalami ribut petir beserta hujan lebat pada petang ini.
Tambah MetMalaysia, keadaan cuaca tersebut dijangka akan berlarutan sehingga pukul 8 malam. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929