NEW YORK – Bintang tenis No.1 dunia, Ashleigh Barty tersingkir seawal pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas gagal mengekang asakan pemain tuah rumah, Shelby Rogers yang melakukan kebangkitan dramatik awal pagi semalam.
Dalam aksi itu, Rogers yang menduduki ranking ke-43 dunia, ketinggalan pada awal set ketiga sebelum bangkit mencatat kemenangan 6-2, 1-6, 7-6 (5) di hadapan penyokong sendiri di Stadium Arthur Ashe.
Kemenangan itu menyaksikan Rogers membuat perhitungan dengan pemain remaja Great Britain, Emma Raducanu dalam usaha ke pusingan suku akhir Terbuka AS esok.
“Saya ingin mengutip mata dalam setiap set perlawanan dan saya akui kehadiran penonton hari ini (awal pagi semalam) sangat mengujakan saya. Mereka sebenarnya membantu saya mengawal gelanggang ini.
“Barty adalah seorang pemain yang berpengalaman, jadi saya cuba untuk kekal lama dalam perlawanan ini. Dia mengawal permainan dengan cukup baik dan membalas setiap pukulan deras saya dalam set kedua.
“Saya telah memberikan prestasi sebaik mungkin untuk memastikan saya dapat meraih kemenangan pada set ketiga. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menyaksikan perlawanan ini,” kata Rogers.
Keputusan perlawanan tersebut merupakan kejutan kedua terbesar saingan Terbuka AS kali ini selepas pemain berusia 18 tahun dari Kanada, Leylah Fernandez berjaya menumbangkan juara Grand Slam sebanyak empat kali, Naomi Osaka kelmarin. – AGENSI