fbpx

Ceroboh hutan simpan untuk hantar bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI kawasan Hutan Simpan Sinderut, Lipis, Pahang inilah sekumpulan individu didakwa menceroboh untuk menghantar bantuan kepada penduduk kelmarin.

LIPIS – Tindakan sekumpulan individu termasuk ahli Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan mema­suki Hutan Simpan Sinderut di sini tanpa permit mengundang padah apabila mereka bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut sumber, kumpulan berkenaan memasuki hutan itu kelmarin untuk menyalurkan bantuan termasuk makanan kepada penduduk yang terjejas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Mereka memasuki hutan itu tanpa permit dengan alasan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas selepas mendapat aduan.

“Difahamkan, sebahagian ahli kumpulan itu pulang pada se­belah petang dan ada yang bermalam di kawasan tersebut bagi meneruskan program hari ini (semalam),” katanya di sini semalam.

Sumber tersebut memberi­tahu, susulan itu, pihak Jabatan Perhutanan akan mengambil tindakan selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Lipis di sini.

Pada 18 Julai lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Te­ratai, Bryan Lai Wai Chong merupakan antara 29 individu yang ditahan kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai di sini tanpa permit.

Kumpulan dari Selangor dan Kuala Lumpur itu ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Rekoh, Pos Lenjang di sini.

Memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh petugas Jabatan Perhuta­nan semalam.

Jelas beliau, kes tersebut melibatkan pencerobohan hutan simpan yang merupakan di bawah bidang kuasa Jabatan Perhuta­nan.

Sementara itu, Pengarah Jaba­tan Perhutanan Negeri, Datuk Dr. Hizamri Mohd. Yasin pula gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI