PADANG BESAR – Penyumbang pingat emas ketiga negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Abdul Latif Romly, 24, sudah mempunyai pilihan hati dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 2025.
Ibunya, Salmah Yatim, 64, berkata, anak bongsu daripada tujuh beradik itu tidak merancang untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa ini kerana masih memberi tumpuan dalam sukan dan menyasarkan untuk menyertai Sukan Paralimpik di Paris pada 2024.
Katanya, Abdul Latif yang lebih mesra dipanggil ‘pak cik’ dalam ahli keluarga sudah mengenali teman wanitanya sejak zaman sekolah ketika sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi di sini.
Berita berkaitan: Wajah kacak Abdul Latif Romly jadi bualan
“Latif rancang kahwin pada 2025 kerana buat masa ini dia masih nak tumpukan kepada sukan terlebih dahulu. Kalau ikutkan saya, 2025 pun masih rasa Latif terlalu muda lagi untuk berkahwin.
“Namun, kami tidak ada halangan sebab keluarga pun sudah lama saling mengenali antara satu sama lain.
Dia pun ada cakap yang lepas acara Sukan Paralimpik di Paris, baru akan merancang untuk berumah tangga,” katanya ketika ditemui rumahnya di Taman Emas, Beseri di sini
semalam.
Pada kelmarin, Abdul Latif menutup tirai Sukan Paralimpik 2020 meraih pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di Stadium Olimpik, Tokyo.
Anak jati Perlis itu mendapat perhatian orang ramai di media sosial dengan perubahan wajahnya yang jauh lebih matang berbanding ketika Sukan Paralimpik Rio di Brazil pada tahun 2016.