HULU LANGAT – Seramai tujuh remaja yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti riadah di Jeram Gunung Hitam, Hulu Langat berjaya diselamatkan awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.15 petang semalam.
“Kejadian tersebut membabitkan tujuh remaja lelaki berusia 18 tahun yang dilaporkan sesat di dalam hutan ketika melakukan aktiviti riadah.
“Kesemua mereka dapat dihubungi melalui talian telefon dan memaklumkan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, operasi menyelamat mangsa telah dijalankan dengan kekuatan 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm).
“Operasi tersebut juga dibantu Pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.
“Kesemua mangsa berjaya ditemui bomba dalam keadaan selamat pada pukul 1.51 pagi dan operasi membawa mereka keluar mengambil masa kira-kira empat jam yang berakhir pada pukul 5.59 pagi,” jelasnya. – K! ONLINE.