PETALING JAYA – Atlet Greece, Thanasis Pradramou mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia selepas ruangan komen di Instagramnya dibanjiri dengan pujian daripada rakyat negara ini.
Thanasis dipuji orang ramai semalam selepas menjadi orang pertama yang menghulurkan bantuan kepada atlet negara, Abdul Latif Romly yang cedera di sukan Paralimpik Tokyo semalam.
Melalui hantaran di Insta Storynya, Thanasis melahirkan ucapan penghargaan di atas komen-komen positif yang diterimanya dalam bahasa Greek dan Bahasa Melayu.
“Terima kasih banyak atas cinta anda yang unik,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen hantaran terkini laman Instagram Thanasis mendapati lebih 10,000 komen ditinggalkan dan kebanyakannya adalah ucapan terima kasih dan tahniah daripada rakyat negara ini.
“Terima kasih Thanasis kerana membantu atlet kami semalam, kami terharu dan turut gembira atas kejayaan anda semalam,” kata Zuekg.
“Terima kasih dari Malaysia, pingat emas untuk sikap awak,” kata Citra. – K! ONLINE