INDUSTRI seni tanah air adalah antara cabang kerja yang paling terkesan disebabkan pandemik Covid-19 yang sudah berpanjangan sejak lebih setahun lalu.
Situasi tersebut diakui sendiri pengarah dan pelakon, Shahili Abdan atau Nam Ron yang sudah tiga bulan hilang total mata pencarian, tidak bekerja dan hidup bersandarkan apa ada.
Bercakap kepada Pose, bintang Mencari Rahmat itu berharap kerajaan mempertimbangkan semula untuk membenarkan semua panggambaran bukan hanya projek drama atau filem yang tertangguh.
Nam Ron, 52, berkata, dia mungkin terpaksa melupakan kerjaya sebagai seorang anak seni jika sememangnya tidak ada jalan untuk mencari rezeki di jalan seni yang semakin hilang nyawa ketika ini.
“Isunya sekarang, kebanyakan industri atau lapangan lain semua dah dibenarkan beroperasi seperti biasa. Pusat beli-belah sudah dibenarkan beroperasi, aktiviti-aktiviti sosial sudah banyak berjalan seperti biasa asalkan lengkap dua dos vaksin.
“Sudah tiga bulan saya tidak bekerja tapi saya tak mahu mementingkan diri. Saya cuma nak beritahu bahawa pekerja produksi adalah mereka yang benar-benar cakna dan berdisiplin dalam bab prosedur operasi standard (SOP).
“Kami bekerja dengan pasukan yang sama. Kami pergi kerja ke set penggambaran dan kemudian balik rumah.
“Tiada pun nak melilau kerana kami pun tidak mahu bawa balik virus ke rumah, apatah lagi mereka yang sudah berkeluarga seperti saya,” kata Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-30 menerusi filem One Two Jaga itu.
Nam Ron juga percaya, sejauh mana orang ramai menafikan bahawa seni hiburan itu melalaikan, mereka tidak boleh menafikan pada waktu yang sangat terdesak kini, khalayak memerlukan hiburan untuk menenangkan segala kepincangan yang berlaku disebabkan Covid-19.
“Orang cakap kalau tertekan rasa macam hidup sudah tiada erti, pergilah berzikir dan jangan tinggal solat.
“Ya, betul saya pun sokongan kenyataan itu. Tapi pada masa yang sama, saya juga percaya ramai menjadikan hiburan sebagai ‘ubat’ atau eskapisme untuk lari daripada masalah berkaitan Covid-19.
“Saya kata begini bukan sebab ini industri yang mendatangkan rezeki kepada saya tapi itulah realitinya. Ramai antara kita yang sudah mula bosan, apabila stesen televisyen asyik tayang drama atau rancangan ulangan.
“Jadi, dibenarkan untuk menjalani penggambaran dengan patuh tekun dengan segala SOP yang ditetapkan kerajaan, sudah lengkap dua dos, saya tak rasa menjadi masalah untuk anak seni kembali merancakkan industri. Perlahan-lahan kita bergerak ke arah itu,” ujar Nam Ron.
Kata Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 itu lagi, pembukaan semula aktiviti penggambaran filem atau drama seperti tidak jelas dan tidak memungkinkan anak seni untuk terus mencari rezeki dalam bidang ini.
“Macam berjalan keluar rumah tapi tidak bawa kaki. Begitulah perumpamaannya.
“Kalau dahulu saya faham mengapa penggambaran tak dibenarkan tetapi sekarang semua lapangan kerja macam dah rancak, namun tidak buat kami anak seni.
“Saya cuma berharap akan ada garis panduan yang jelas dan lebih adil untuk kami, anak-anak seni kembali bekerja seperti kebiasaan.
“Bukan kami tak faham negara tengah dihempap permasalahan Covid-19 tapi itulah, cuma harap kerajaan nampak bahawa ada yang sedang melambaikan tangan memohon pertolongan,” luahnya lagi.
Terdahulu, pada 21 Julai lalu, kerajaan menetapkan hanya produksi drama, iklan dan dokumentari yang tertangguh penggambaran kerana pelaksanaan PKP bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk meneruskan penggambaran pada Fasa Dua.
Syarat lain adalah aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri yang berada bawah status Fasa Dua dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studio sahaja.
Sehubungan itu, Nam Ron berharap kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan seperti biasa memandangkan ramai penggiat seni sudah mempunyai menerima vaksinasi lengkap.
Terbaharu, rakyat Malaysia diseru agar bersedia untuk hidup bersama Covid-19 dalam transisi fasa endemik pada hujung Oktober ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, persediaan itu termasuk perubahan tingkah laku rakyat dalam norma baharu.