fbpx

Ronaldo cetus aura tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO dilaporkan telahpun tiba di Manchester selepas mendapat pelepasan awal kem Portugal. –AFP

MANCHESTER – Bintang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo akhirnya menjejakkan kaki buat kali pertama di bumi Manchester selepas dilepaskan awal oleh skuad antarabangsa Portugal daripada kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Kepulangan Ronaldo ke Old Trafford memberi bayangan penyerang prolifik berusia 36 tahun itu bakal membuat kemunculan debut pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United di laman sendiri, Sabtu minggu depan.

Lebih menarik, tiket perlawanan melibatkan United menentang The Magpies dijual dengan harga berlipat kali ganda sehingga mencecah puluhan ribu ringgit oleh ‘ulat tiket’ yang mahu mengambil kesempatan terhadap kepulangan Ronaldo.

Sebagai rekod, Ronaldo yang dilabelkan sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman, melengkapkan perpindahan bernilai £19.8 juta (RM113.83 juta) daripada Juventus untuk kembali mewakili The Red Devils selepas berhijrah pada 2009.

Impak bekas tonggak Real Madrid itu mencetuskan aura tersendiri apabila replika jersi United keluaran jenama sukan terkemuka, Adidas musim ini dilaporkan sudah kehabisan stok di seluruh dunia sejurus pengumuman kepulangan semula Ro­naldo.

Bukan itu sahaja, malah jutaan peminat United juga mengambil kesempatan meletakkan nama Ronaldo dan No. 7 di belakang jersi tersebut selepas pemilik nombor berkenaan sebelum ini, Edinson Cavani menukar ke No. 21.

Ronaldo yang masih segar melakar kejayaan rekod dunia baharu sebagai penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa dengan jumlah 111 gol bersama Portugal, dilihat sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer musim ini.

Misi utama sudah tentu menamatkan kemarau kejuaraan United yang kali terakhir menjulang kejayaan Liga Europa pada 2017, selain menamatkan penantian bergelar juara EPL sejak 2013 ketika dikendalikan Sir Alex Ferguson. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI