NEW YORK – Pemain remaja Kanada, Leylah Annie Fernandez mencipta kejutan apabila menewaskan bekas jaguh No. 1 dunia, Naomi Osaka pada Kejohanan Tenis Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi semalam.
Pemain muda berusia 18 tahun itu yang ketika ini menduduki ranking No. 73 dunia, berjaya menampilkan aksi luar biasa selepas bijak mengatasi cabaran Osaka dengan kemenangan 5-7, 7-6, 6-4.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berdarah kacukan Filipina-Kanada tersebut berjaya melepasi pusingan ketiga buat kali pertama selepas langsung tidak diberikan perhatian dalam kejohanan berkenaan.
“Saya akui sangat gembira dengan kemenangan ini. Pada perlawanan ini, saya tidak terlalu fokus lawan saya (Osaka) kerana tumpuan lebih terarah kepada strategi permainan.
“Saya hanya memikirkan apa yang perlu dilakukan apabila berdepan pemain hebat seperti Osaka. Impian saya ingin kekal lebih lama dalam kejohanan ini dan saya harap dapat memburu tempat sekurang-kurangnya ke suku akhir nanti,” katanya.
Hasil keputusan tersebut, Fernandez bakal berdepan pemain No. 17 dunia, Angelique Kerber selepas bintang tenis Jerman itu bangkit menewaskan Sloane Stephens 5-7, 6-2, 6-3.
Selain itu, Elina Svitolina yang menjuarai Terbuka Chicago minggu lalu, juga mempamerkan permainan cemerlang apabila menang straight-set 6-4, 6-2 ke atas Daria Kasatkina.
Bintang tenis Sepanyol, Garbine Muguruza turut melepasi pusingan ketiga selepas mengatasi pemain Belarus, Victoria Azarenka dengan keputusan 6-4, 3-6, 6-2. – AGENSI