LINANGAN air mata kegembiraan membasahi bumi Tokyo selepas impian jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou untuk meraih pingat emas akhirnya tercapai selepas muncul juara pada aksi final acara badminton perseorangan lelaki SU5 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.
Lebih membanggakan, atlet berusia 33 tahun itu mencatat sejarah apabila dinobatkan selaku pemenang pingat emas badminton pertama selepas mengatasi cabaran pemain No.1 Dunia dari Indonesia, Dheva Anrismusthi.
Pada perlawanan itu, Liek Hou mengambil masa 50 minit untuk mencatat kemenangan 21-17, 21-15 ke atas jaguh badminton Indonesia itu.
“Saya tidak tahu mahu cakap apa kerana dapat rasakan tekanan yang dihadapi sudah habis. Saya dapat lepaskan semuanya selepas menang pingat emas ini. Sudah lama saya tahan benda ini.
“Impian saya sudah tercapai akhirnya,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Kemenangan tersebut membolehkan Liek Hou mengekalkan rekod lima perlawanan tanpa kalah di Sukan Paralimpik termasuk tiga kemenangan pada peringkat Kumpulan B.
Sudah pasti kejayaan itu hadir menerusi bantuan jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek yang menyaksikan kemenangan Liek Hou ketika sukan badminton julung-julung kali dipertandingkan pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
“Alhamdulilah, pingat emas akhirnya,” kata Rashid menerusi Instagram miliknya semalam.
Susulan kemenangan itu, Malaysia kini memperoleh tiga pingat emas menerusi atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) dan Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh.
elain itu kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia.