YAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan semua anggota di bawah agensi seliaan kementerian itu menerima vaksin Covid-19 kerana mereka merupakan barisan hadapan yang sentiasa berada dengan masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, anggota terlibat tidak sepatutnya memberi masalah kepada orang awam dengan tidak mengambil vaksin.
“Kita tidak ada masalah ini (enggan ambil vaksin) dan jika ada seorang dua yang tidak ambil vaksin, kita akan ambil tindakan.
“Mereka adalah barisan hadapan dan sepatutnya menjadi yang terawal menerima vaksin, jadi mereka tidak sepatutnya bawa masalah kepada rakyat,” katanya selepas meninjau lokasi terjejas aliran puing di Titi Hayun dalam program KDN Prihatin Yan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya yakin semua anggota akan menerima vaksin apabila kadar vaksinasi anggota dan pegawai KDN sendiri telah mencapai 96 peratus, warga Polis Diraja Malaysia pula 91 peratus manakala Jabatan Penjara Malaysia sudah menghampiri 100 peratus. – K! ONLINE