GEORGE TOWN – Penduduk di negeri ini diminta tidak panik dan berhenti menularkan mesej di media sosial kononnya Pulau Pinang akan dikenakan ‘total lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sekali lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, pihaknya mendapati banyak mesej suara terdiri daripada beberapa bahasa tular di media sosial ketika ini mendakwa ‘lockdown’ akan dilaksanakan bermula esok.
Ujarnya, perkara itu adalah tidak benar dan pengumuman berkaitan sepatutnya hanya diumumkan secara rasmi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu Lai Heng menjelaskan, apa yang dibangkitkannya berkenaan PKP ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu lalu adalah cadangan untuk kerajaan negeri mengkaji secara serius sama ada negeri ini boleh melaksanakan ‘total lockdown’ dua minggu seperti PKP 1.0.
“Ia supaya dapat memutuskan rangkaian jangkitan dan menurunkan kes serta menghalang sistem perubatan awam daripada lumpuh sepenuhnya.
“Dalam perbahasan DUN itu juga saya menyatakan satu perkara penting iaitu orang ramai perlu ada disiplin diri yang tinggi dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lai Heng, usaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab rakyat dan kerajaan apatah lagi petugas barisan hadapan serta sistem perubatan negara telah letih.
“Sekali lagi saya mohon jangan menularkan apa-apa mesej yang tidak pasti,” katanya.
Sementara itu, satu mesej suara seorang wanita yang tular di aplikasi WhatsApp menyebut, Pulau Pinang akan melaksanakan ‘total lockdown’ bermula esok selama dua minggu. – K! ONLINE