JOHOR BAHRU – Rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di luar negara perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan sijil pengesahan vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tindakan itu bertujuan mengesan penerima vaksin dari luar negara mengenai status mereka serta jenis vaksin yang telah diterima.
“Dalam perkembangan terkini, bagi yang mendapatkan suntikan vaksin di luar negara, mereka perlu hadir ke PKD untuk memaklumkan status vaksinasi lengkap untuk menerima sijil vaksinasi MySejahtera.
“PKD yang menerima sijil vaksinasi yang dikeluarkan di luar negara itu untuk disahkan sebelum Jabatan Kesihatan Negeri akan menghantar permohonan itu ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“CPRC akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera di telefon pintar pemohon,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin, di sini hari ini. – K! ONLINE