fbpx

Hatrik Ifedayo bantu kemenangan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ifedayo (kiri) nyata sukar dikekang apabila meledak hatrik ketika membantu Selangor membelasah Sabah 6-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

PETALING JAYA – Pasukan Selangor meneruskan rentak cemerlang apabila masih belum tewas dalam enam perlawanan selepas membelasah Sabah 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus memastikan skuad kendalian Karsten Neitzel berada pada landasan tepat untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima pasukan teratas selepas mengumpul 36 mata.

Pada perlawanan tersebut, penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun memintas kedudukan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva sebagai penjaring terbanyak musim ini dengan 25 gol selepas meledak hatrik ke atas Sabah.

Lebih menarik, pemain dari Nigeria itu turut menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Super apabila memintas jumlah 23 gol yang dilakukan Mohammad Ghaddar ketika bersama Kelantan dan JDT pada 2017.

Ifedayo memulakan pesta gol pasukan Selangor dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-22 hasil kesilapan hantaran yang dilakukan Azizan Nordin sebelum dia menggandakan kedudukan dua minit kemudian.

Pemain muda Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal turut mencetak gol pertamanya musim ini pada penghujung separuh masa pertama menerusi satu sepakan deras selepas melepasi kawalan pemain pertahanan skuad Badak.

Bermula separuh masa kedua, Selangor hanya memerlukan masa kurang seminit untuk meledak gol keempat menerusi pemain gantian, Nor Hakim Hassan yang menggantikan Mukhairi selepas waktu rehat.

Tersentak dengan gol tersebut, Sabah kembali mengatur langkah dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-59, namun dua percubaan berturut-turut daripada Alto Linus dan Mohd. Amri Yahyah sekadar terkena tiang.

Ketika pasukan tuan rumah ghairah memburu jaringan, Selangor mengambil kesempatan atas kelekaan benteng pertahanan Sabah apabila menjaringkan gol kelima menerusi seorang lagi pemain gantian, Ahmad Danial Asri pada minit ke-75.

Kerja keras Ifedayo untuk memburu hatrik pada perlawanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia menjaringkan gol ketiga peribadi pada minit ke-88 selepas mudah menolak masuk bola ke arah pintu gol Sabah yang terbuka luas.

Bagi aksi terakhir Liga Super musim ini, Selangor dijadualkan melayan kunjungan pasukan setempat, PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 12 September ini.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI