SEJAK akhir-akhir ini, ada sahaja perkongsian daripada penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew bersama wajah-wajah pelakon dan selebriti terkenal seperti Norman Hakim, Zul Ariffin dan Harris Alif.
Selain itu, Ebit juga dilihat menjalin kerjasama dengan iaitu Sufian Suhaimi, Khai Bahar, Syafiq Farhain dan Kodi Rasheed.
Difahamkan, pertemuan mereka untuk menghidupkan kebaikan dan kasih sayang dalam umat serta untuk misi kemanusiaan.
Meskipun tidak berkongsi lanjut tentang isi dan misi mereka, namun perkara tersebut menyejukkan hati peminat.
“Ini baru boleh dinamakan hero-hero Melayu. Alhamdulillah semakin ramai ikut jejak Ebit Lew,” komen seorang netizen.
“Semoga lebih ramai artis kita berdakwah , boleh jadi teladan yang baik,” doa seorang lagi pengguna Instagram.
Rata-rata netizen berharap usaha dakwah Ebit dalam kalangan selebriti tanah air diteruskan serta mampu menarik lebih ramai lagi artis untuk berubah ke arah kebaikan.
Semoga semua yang sedang berdakwah kekal istiqamah untuk menyebarkan perkara-perkara yang baik kepada masyarakat. Pesan Diva, jangan berdakwah kerana ingin sekerat jalan sahaja, risau kena kecam teruk pula nanti.
DIVA: Ramai yang tertanya-tanya apakah pendekatan Ebit ini bagi mengalih skeptikal umum susulan siasatan polis terhadapnya yang belum selesai. Elok kita bersangka baik sahaja.