fbpx

Catu susu elak bekalan terputus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD AFANDI (kiri) melihat keadaan Saadun selepas menyampaikan sumbangan katil klinikal di rumah lelaki itu di Kampung Wakaf Stan, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Seorang bekas guru al-Quran kini terlantar di rumahnya di Kampung Wakaf Stan di sini selepas disahkan menghidap penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu.

Saadun Sani, 59, kini dijaga oleh isterinya, Salma Ismail, 58, yang juga tidak sihat kerana patah pergelangan kaki akibat kemala­ngan jalan raya pada awal tahun ini.

Anak sulung Saadun, Luqmanul Hakim, 31, berkata, dalam tempoh lima tahun, bapanya sudah tiga kali diserang angin ahmar sehingga menyebabkan lelaki itu sudah tidak mampu bergerak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan bapanya sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan kerja mengajar anak-anak muridnya di sebuah surau di kampung mereka.

“Setiap hari, saya atau adik perlu mengusung bapa untuk memandikannya di luar rumah. Ibu pula tidak berapa sihat dan hanya mampu membantu me­nguruskan tugas yang ringan.

“Setiap bulan, kami adik-beradik memperuntukkan sebanyak RM1,500 untuk membeli kelengkapan ayah. Dia tidak pernah menerima sebarang bantuan meskipun sudah banyak kali memohon,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.

Luqmanul Hakim yang bekerja sebagai peniaga kurma membe­ritahu, bagi meringankan beban, dia dan adik-beradiknya bergilir-gilir menyediakan wang untuk keperluan bapanya setiap bulan.

Sementara itu, Salma berkata, keadaan kewangan yang terhad menyebabkan dia terpaksa mencatu bekalan susu khas yang diminum suaminya setiap hari.

“Harga satu tin susu RM94 dan hanya bertahan tiga hari. Kadang-kadang saya terpaksa catu susu kerana bimbang bekalan terputus.

“Ada badan bukan kerajaan memberi sumbangan lima tin susu, namun sudah habis. Saya pula bergantung dengan anak sulung apabila perlukan duit,” katanya.

Prihatin dengan nasib Saadun, Pengerusi Info Semasa Kubang Kerian (ISKK), Mohamad Afandi Mohamad menyumbangkan se­­buah katil untuk kegunaan Saadun hasil kutipan orang ramai menerusi tabung khas.

“Kita harap katil ini dapat memberi keselesaan kepada beliau,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam bernombor 03018021592307 atas nama Salma Ismail atau hubunginya di talian 019-672 1817. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI