fbpx

Argentina berhajat kecewakan Brazil kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI (tengah) dijangka mampu mengulangi magisnya dengan menewaskan Brazil awal pagi esok seperti yang dilakukannya sewaktu final Copa America 2021. – AFP

SAO PAULO – Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menggesa barisan pemainnya supaya memanfaatkan situasi yang dihadapi musuh tradisi, Brazil untuk mencatat kemenangan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Arena Corinthians awal pagi esok.

Begitupun, pengendali berusia 43 tahun itu tidak mahu anak-anak buahnya memandang rendah kemampuan Brazil yang hilang 11 pemain utama untuk aksi kelayakan zon Amerika Selatan kali ini kerana masih memiliki bintang seperti Neymar.

Justeru, Scaloni berharap La Albiceleste tidak terlalu bergantung harapan kepada kapten, Lionel Messi dan mengekalkan momentum untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Brazil sejak menewaskan lawan tersebut pada final Copa America 2021.

“Ia sesuatu yang istimewa apabila logo juara ditampal pada jersi kami kerana para pemain telah berusaha bermati-matian untuk menjuarai saingan Copa America.

“Namun, sekarang bukan masanya untuk kami terus dibuai kejayaan lalu. Perlawanan kali ini pastinya berbeza dan kami perlu terus meningkatkan tahap permainan.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pihak lawan tetapi apa yang pasti kami perlu berikan prestasi sebaik mungkin untuk memenangi pertemuan ini,” katanya.

Sementara itu, penyerang Argentina, Lautaro Martinez bersedia memikul cabaran pasukan dengan mencipta jaringan ke atas Brazil selepas meledak satu gol ketika menewaskan Venezuela 3-1 kelmarin.

Sebagai rekod, Argentina kini menduduki tangga kedua kelayakan zon Amerika Selatan, enam mata di belakang Brazil yang memenangi semua tujuh perlawanan setakat ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI